Kaki Hidayat kena potong selepas merentas desa

kosmo prihatin

Mohd. Hidayat bersama ayah dan ibunya di rumah mereka di Taman Gau Idaman, Temerloh.

TEMERLOH – Kehidupan seorang remaja lelaki yang aktif bersukan sejak kecil bertukar sekelip mata apabila dia disahkan menghidap kanser tulang sehingga menyebabkan kaki kirinya dipotong pada Julai lalu.

Penderitaan yang ditanggung Mohd Hidayat Mujahid Mohamed So’od, 13, itu bermula apabila kaki kirinya tiba-tiba membengkak selepas menyerai larian merentas desa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh, Mei lalu.

Bapanya, Mohamed So’od Abdullah, 57, berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu memang seorang yang aktif bersukan dan tidak pernah menunjukkan sebarang simptom penyakit barah tulang.

“Selepas sehari menyertai la­rian itu, anak mengadu sakit kaki dan pada mulanya, saya ingat sakit biasa. Bagaimanapun, sakit itu tetap tidak hilang selepas tiga kali kami ke klinik.

“Hidayat kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan hasil ujian imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) mendapati ada ketulan tulang dan dia disahkan menghidap kanser tulang pada penghujung Jun,” katanya ketika ditemui di Taman Gau Idaman di sini baru-baru ini.

Menurut Mohamed So’od, penderitaan anaknya makin bertambah selepas kaki kirinya terpaksa dipotong pada Julai lalu.

“Memang berat hati menerima keputusan ini, tetapi Mohd. Hidayat sendiri mengaku tidak dapat lagi menanggung kesakitan akibat penyakit itu.

“Malah, dia reda dengan takdir ini. Kami rasa beremosi bila mengenangkan penderitaan yang dialaminya,” katanya.

Jelas beliau lagi, dengan pendapatan bulanan kira-kira RM1,500 sebulan sebagai pembantu dobi, mereka sekeluaga kini semakin buntu memikirkan kos yang diperlukan untuk Mohd. Hidayat seperti bekalan susu khas, lampin, pembelian kaki palsu serta kerusi roda.

Katanya, setakat ini dia juga menanggung dua anak yang masih belajar termasuk seorang di Politeknik Muadzam Shah, Rompin.

Ibunya, Zanariah Abu Sah,50, berkata, Mohd. Hidayat terlalu muda untuk menanggung penderitaan apabila kaki kirinya tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong.

“Anak terpaksa melupakan cita-citanya menjadi pelumba basikal walaupun itulah impian Mohd. Hidayat sejak kecil.

“Kini, kami berharap dapat bantuan kaki palsu yang sesuai dengan keadaan anak selain sedang menunggu bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Selain itu, mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menghubungi keluarga ini di talian 013-7149987 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong Bank bernombor 13151036504 atas nama Moha­med So’od Abdullah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *