REMBAU – Seorang adik tidak dapat menahan perasaan hibanya apabila kakak yang disayangi maut dalam nahas dua buah kenderaan di Kilometer 32.1, Jalan Seremban-Tampin, dekat Pekan Chengkau, di sini, malam semalam.
Bahkan, adik lelaki itu berulang-kali menyatakan “Kakak, jangan tinggalkan adik” di lokasi nahas.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed, dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 malam itu, mangsa, Khaiira Mohd Zamri, 17, yang beralamat di Taman Seremban Jaya, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian.
“Berdasarkan siasatan kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha 135 LC yang mangsa tunggang, manakala sebuah lagi kenderaan jenis Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia 97 tahun.
“Mangsa yang bekerja sebagai pembantu sebuah pasar raya di Lotus Seremban Jaya dalam perjalanan dari rumahnya ke Tampin. Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa telah melanggar sisi kanan kereta yang tiba-tiba membuat pusingan U di hadapan.
“Kereta berkenaan datangnya dari bahu jalan sebelah kiri arah yang sama dan mahu berpatah balik ke arah Pekan Rembau,” katanya. – https://amiminerals.org/