Kadar pematuhan caruman KWSP di P. Pinang ketiga tertinggi dalam negara

KWSP CARUMAN PULAU PINANG

Kon Yeow (kanan) ketika merasmikan Majlis Anugerah Majikan Terbaik KWSP 2024 di George Town, hari ini.

GEORGE TOWN – Kadar pematuhan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Pulau Pinang adalah yang ketiga tertinggi dalam negara dengan kadar peratusan sebanyak 99.15 peratus.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau yakin sekiranya kesemua majikan menyahut inisiatif untuk memantapkan kolaborasi bersama KWSP masih ada ruang untuk kita mencapai 100 peratus kadar pematuhan caruman di Pulau Pinang.

“Dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2024, sebanyak RM31.38 bilion pelaburan berjaya direalisasikan di Pulau Pinang.

“Rekod ini bersama pencapaian-pencapaian lain saban tahun merupakan sebuah cerminan bahawa negeri ini menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara, dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan menjadi pemacu utama,” katanya ketika berucap merasmikan majlis anugerah majikan terbaik KWSP 2024 di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, pencapaian itu hanya dapat dikekalkan dan ditambah baik sekiranya para majikan dapat memikul tanggungjawab.

“Majikan perlu memastikan bayaran gaji yang adil tepat pada masanya, faedah yang bersesuaian, persekitaran pekerjaan yang baik, bertolak ansur serta memperlakukan para pekerja dengan ihsan termasuk memastikan pembayaran caruman KWSP dilaksanakan tanpa gagal,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah KWSP Wilayah Utara, Jeffary Mohamed Isa memberitahu, setakat Oktober 2024, tahap kecukupan simpanan ahli bagi Pulau Pinang adalah pada kadar 29 peratus di mana sejumlah 199,000 ahli di bawah umur 55 tahun telah mencapai kadar simpanan asas yang ditetapkan oleh KWSP. – https://amiminerals.org/