SHAH ALAM – Impian seorang lelaki memiliki rumah pertama selepas 20 tahun bermaustatin di Selangor tercapai apabila memenangi hadiah cabutan utama Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 hari ini.
Tuah memihak kepada Mohamad Redzuan Daud, 39, apabila menerima sebuah unit apartmen servis di Serasi Residences, Putra Heights Sentral yang bernilai RM500,000.
Menurut Penolong Juruukur Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor itu, dia menyertai karnival berkenaan sejak hari pertama perasmiannya pada Khamis lalu.
“Tertarik dengan kepelbagaian program MSAM, saya kembali semula pada hari kedua dan menyertai kuiz yang disediakan kepada pengunjung. Saya amat terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan karnival itu di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, petang tadi.
Hadiah utama itu disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan turut disaksikan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.
Menurut Mohamad Redzuan yang merupakan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan, dia kini menyewa rumah di Seksyen 17 di sini, dan berulang alik ke tempat kerjanya di Kuala Selangor.
“Saya bermastautin di Shah Alam sejak menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan Ijazah Sains Ukur. Kini, ia hampir 20 tahun dan syukur saya dapat memiliki rumah sendiri apatah lagi ia kediaman pertama. Saya akan terus berpindah ke kediaman berkenaan selepas memperoleh kunci kelak,” ujarnya.
Selain Mohamad Redzuan, pengunjung lain turut memenangi hadiah utama iaitu Noritah Rusli, 48, yang membawa pulang Perodua Ativa 1.0 Turbo, manakala Harozi Ramli, 45, dari Melaka, memenangi Macbook Air 13 inci bagi kategori pengunjung bertuah pada majlis penutupan MSAM 2024.
Penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 dalam meningkatkan tahap celik kewangan mencapai objektifnya apabila merekodkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung. – Iteenews