KUALA TERENGGANU – Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang dianjurkan di Terengganu sejak awal tahun ini mencatat jualan RM39 juta.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Saharuddin Mohd Kia berkata, PJRM terbabit memberi manfaat kepada 928,410 pengguna di 854 lokasi penganjuran di seluruh negeri ini setakat ini.
“Sambutan orang ramai sangat memberangsangkan di setiap lokasi PJRM kerana menawarkan pelbagai barangan berkualiti dengan harga lebih murah sehingga 30 peratus berbanding pasaran.
“Matlamat kita ialah mengadakan sekurang-kurangnya dua kali penganjuran PJRM setiap bulan di semua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Terengganu,”katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas menghadiri Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas peringkat Terengganu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman.
Saharuddin berkata, PJRM menjual antara 100 hingga 200 barangan keperluan asas di setiap lokasi penganjurannya. – https://amiminerals.org/