ROMPIN – Sebanyak enam lokasi Bazar Ramadan Rahmah yang menawarkan juadah seperti nasi berlauk dan nasi beriani berharga RM5 diwujudkan di negeri ini bagi meringankan kos sara hidup rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, setakat ini kira-kira 100 peniaga di enam lokasi berkenaan menyertai program Bazar Ramadan Rahmah.
“Program Bazar Ramadan Rahmah bertujuan membantu rakyat bagi mengurangkan kos sara hidup, bagi pilihan hidangan berbuka puasa pada harga berpatutan iaitu penjualan menu rahmah yang dijual pada harga RM5 ke bawah.
“Program ini terbuka kepada semua peniaga dan kita berharap dengan inisiatif diberi lebih ramai lagi peniaga akan menyertai program ini,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, enam lokasi Bazar Ramadan Rahmah di negeri ini ialah Bazar Ramadan Muadzam Shah; Bazar Ramadan Mahkota Square di Kuantan; Bazar Ramadan bandar Jerantut; Bazar Ramadan Taman Temerloh Jaya di Temerloh); bazar Ramadan Dataran Kerayong di Bera dan bazar Ramadan bandar Raub di Raub.
Katanya, berdasarkan tinjauan pada hari pertama pelaksanaan bazar Ramadan Rahmah menyaksikan ia mendapat sambutan baik dan pihaknya menjangka akan ada pertambahan peniaga menyertai program itu.
Dalam pada itu katanya, para peniaga yang menawarkan Menu Rahmah ini akan menerima RM100 dalam bentuk e-wallet sebagai galakan. Dan di bazar Ramadan Muadzam Shah hari ini kita merekodkan sebanyak sepuluh peniaga.
“Selain itu, kita juga turut menyediakan insentif e-wallet sebanyak RM20 seorang kepada 1,000 pengunjung Bazar Ramadan Rahmah di sini hari ini,”katanya. – https://amiminerals.org/