JOHOR BAHRU – Sejumlah 239 kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku di seluruh Johor melibatkan dua kes kemalangan maut dengan empat kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, jumlah tersebut tinggi bagi statistik harian apatah lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Sehubungan itu, pihaknya meminta semua pengguna jalan raya untuk amalkan sikap bersabar dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya demi kesejahteraan dan keselamatan bersama.
“Sementara itu, aliran trafik memasuki negeri ini berjalan lancar termasuk di kedua-dua pintu sempadan antarabangsa iaitu Tambak Johor serta LinKedua.
“Tiada kesesakan teruk berlaku, mungkin semalam ada sedikit tetapi pagi ini aliran trafik kembali lancar,”katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Ketua Polis Johor bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Terdahulu, Kumar memberitahu sebanyak dua juta kenderaan luar dijangka memasuki negeri ini sempena sambutan Aidilfitri, iaitu peningkatan sehingga tiga kali ganda berbanding tempoh biasa. – https://amiminerals.org/