KOTA TINGGI – Johor terus unggul sebagai destinasi pilihan pelancongan sukan atau sport tourism menerusi penganjuran Kejohanan Ironman 70.3 Desaru Coast.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, pemilihan Desaru Coast sebagai salah satu lokasi pertandingan amat dihargai oleh kerajaan negeri dan Tourism Johor.
“Kita semua sedia maklum bahawa sport tourism merupakan antara bidang yang kami beri fokus kerana ia mampu menarik minat pelancong luar untuk berkunjung ke destinasi-destinasi pelancongan di negeri Johor.
“Selain aktiviti sukan, ia juga membuka peluang pendapatan kepada kerajaan negeri Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Ironman 70.3 Desaru Coast di Bandar Penawar di sini hari ini.
Mohd. Hairi berkata, penyertaan lebih 900 peserta dari lebih 40 negara membuktikan potensi besar acara itu dalam mempromosikan Johor di peringkat antarabangsa.
“Malah, sebanyak 70 peratus daripada peserta adalah dari luar negara. Ini menunjukkan Johor mempunyai daya tarikan tersendiri dalam kalangan pelancong antarabangsa,” katanya. – https://amiminerals.org/