PETALING JAYA – Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1446H/2025M yang berlangsung di Kangar, Perlis yang berakhir malam semalam menyaksikan dua peserta dinobatkan sebagai qori serta qoriah peringkat kebangsaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ucapan sebesar tahniah diucapkan kepada dua permata ummah yang telah dinobatkan sebagai johan qari dan qariah tahun ini iaitu Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dari Perak dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi dariTerengganu.
“Insya-Allah, kedua-dua mereka akan menggalas amanah besar mewakili Malaysia di pentas antarabangsa kelak.
“Malaysia pernah melakar kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa dalam bidang tilawah dan hafazan, dan saya percaya dengan bimbingan, doa serta usaha berterusan, insya-Allah kita mampu mengulangi pencapaian tersebut,”tulisnya di Facebook.
Ahmad Zahid turut menitipkan ucapan agar kejayaan mereka itu menjadi pendorong kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk mendalami dan mencintai al-Quran, bukan sahaja sebagai bacaan, tetapi juga sebagai panduan hidup.
“Marilah bersama kita membina sebuah generasi yang berjiwa al-Quran, berakhlak mulia dan menjadi rahmat kepada negara serta umat,”tulisnya lagi. – https://amiminerals.org/.