KUANTAN – Dua premis yang menawarkan perkhidmatan rawatan estetik dan pergigian tidak berdaftar serta dikendalikan pengamal perubatan tidak bertauliah sejak dua tahun lalu digempur pihak berkuasa menerusi dua serbuan berasingan semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman bekata, serbuan dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil maklumat awam dan risikan pihaknya.
“Ketika serbuan dilakukan terdapat tiga wanita warga tempatan berusia lingkungan 20-an dipercayai pemilik dan pekerja antara kedua-dua premis tersebut.
“Hasil siasatan mereka menjalankan pengoperasian premis tanpa didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melanggar subseksyen 4(1) Akta 586 dan menjalankan amalan pergigian oleh orang tidak berdaftar sekaligus melanggar peruntukan di bawah subseksyen 62(1) Akta 804 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 62(3) akta yang sama,”katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu beliau berkata pihaknya turut merampas ubat dan peralatan ubatan yang dianggarkan bernilai sebanyak RM50,000 yang mana ubat-ubatan berkenaan disahkan tidak mendapat pengesahan KKM.
“Kesemua ubatan ini memang tidak berdaftar dan kita rampas untuk dijadikan sebagai bahan bukti di mahkamah, kita tidak pasti bagaimana mereka memperoleh bekalan dan kesemuanya masih dalam siasatan,”ujarnya. – https://amiminerals.org/