JEMPOL – Seorang jiran tidak menyangkakan bunyi bising yang didengar dari luar rumah di sebuah perumahan flat di Bahau, di sini, semalam, rupa-rupanya membabitkan perselisihan faham suami isteri.
Jiran yang tidak ingin dikenali itu berkata, pada pagi semalam, dia bergegas keluar rumah kerana mempunyai urusan kerja dan sebaik pulang pada waktu petang, dia mendapati rumah mangsa sudah dikunjungi ramai orang.
“Mungkin saudara-mara mangsa, saya tak pasti. Namun, saya dapat tahu adik mangsa sudah pun hantar kakaknya ke hospital kerana dia cedera ditikam dengan pisau.
“Ikutkan, di sini kediaman keluarga mangsa. Saya harap dia berada dalam keadaan baik dan boleh segera keluar dari hospital,” katanya ketika ditemui pemberita di Bahau, di sini, hari ini.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook ketika dihubungi berkata, mangsa berusia 30 tahun akan dibenarkan keluar Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah, hari ini.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.
Terdahulu, media melaporkan, seorang lelaki berusia 32 tahun nekad meminum racun rumpai di kebun durian di Jelebu, selepas melarikan diri setelah menikam isterinya dalam kejadian di Flat Meranti, Bahau. – Iteenews