\’Jika ada kecuaian, pelaku akan diheret ke muka pengadilan\’

WhatsApp Image 2025 05 02 at 3.31.03 PM

JPN negeri Johor menyerahkan siasatan menyeluruh insiden kematian Yu Zie dan menegaskan jika terdapat kecuaian, pelaku akan diheret ke muka pengadilan.

JOHOR BAHRU – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kematian yang melibatkan seorang kanak-kanak di dalam van sekolah di Taman Bukit Indah, Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, sekiranya terdapat sebarang unsur kelalaian atau kecuaian, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut lunas undang-undang.

Tegasnya, pelaku yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan.

”Saya merakamkan rasa dukacita yang amat mendalam atas kejadian tragis yang menimpa adik Yu Zie, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang telah meninggal dunia akibat terperangkap di dalam van sekolah di Taman Bukit Indah, Rabu lalu.

“Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga adik Yu Zie. Semoga mereka diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, mangsa, Yu Zie ditemui tidak sedarkan diri di dalam van sekolah kira-kira pukul 12 tengah hari, hampir lima jam terperangkap.

Menurutnya, mangsa yang bersekolah di sebuah tadika di Taman Bukit Indah di sini dikatakan menaiki van dari kediaman keluarga sebelum sampai di hadapan tadika kira-kira pukul 7.30 pagi hari yang sama.

Mangsa dipercayai tertinggal selepas pemandu van menurunkan kanak-kanak lain di hadapan tadika pada pukul 7.30 pagi.

Mangsa bagaimanapun ditemui tidak sedarkan diri kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum dikejarkan ke sebuah hospital swasta dan disahkan meninggal dunia.

Kumarasan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat.

Jelasnya, susulan kejadian itu, polis menahan pemandu van berusia 56 tahun kira-kira pukul 2.40 petang di kawasan Taman Bukit Indah.  -https://amiminerals.org/