JHEV naik taraf kehidupan veteran ATM, keluarga

Main

RUMAH baharu Rokiah, salah seorang penerima Insiatif Bina Rumah Baharu di Batu Pahat.

KUALA LUMPUR – Nasib golo­ngan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semakin terbela dengan adanya Inisiatif Bantuan Perumahan yang kini lebih mampan dan inklusif.

Inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Jabatan Hal Eh­wal Veteran (JHEV) ATM sejak tahun 2021 itu kini telah berjaya membina sebanyak 152 buah rumah baharu dengan melibatkan kos sebanyak RM9.6 juta.

Selain itu, sebanyak 769 buah rumah veteran ATM yang rosak serta uzur telah dibaik pulih dalam tempoh yang sama menerusi Program Baik Pulih merangkumi peruntukan bernilai RM11.78 juta.

Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki berkata, Program Bina Rumah Baharu dijalankan dengan jalinan kerjasama strategik JHEV ATM bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Semaon berkata, program itu bertujuan untuk membantu vete­ran ATM yang tidak pernah memiliki kediaman, atau sedang mendia­mi rumah yang terlalu uzur, daif serta tidak ekonomik untuk dibaiki.

Jelas beliau, inisiatif itu khusus buat veteran yang berpendapatan rendah dalam kalangan asnaf serta tidak berkemampuan, dengan pendapatan di bawah paras purata garis kemiskinan (PGK), namun memiliki tapak tanah yang bersesuaian.

“Tahun ini kita memperlihatkan peruntukan keseluruhan Inisiatif Bantuan Perumahan berjumlah RM7.2 juta berbanding RM6.1 juta pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak RM1.05 juta.

“Sebanyak RM3.5 juta pula diperuntukkan kepada program bina rumah baharu berbanding RM3 juta pada 2024. Justeru, JHEV menetapkan sasaran untuk membina sebanyak 62 rumah baharu pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

KP
SEMAON MARJUKI

Mengulas lanjut, Semaon berkata, bagi Program Baik Pulih pula, sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan tahun ini dengan sasaran sebanyak 220 buah rumah, berban­ding 209 buah tahun lalu.

Jelasnya, dalam tempoh empat bulan pertama 2025, sebanyak 27 buah rumah baharu bertempat di Pahang (dua), Melaka (tiga), Negeri Sembilan (empat), Perlis (sebuah), Perak (tiga), Kelantan (enam), Terengganu (sebuah), Johor (sebuah) dan Sarawak (enam) telah diluluskan dan kini dalam pembinaan melibatkan peruntukan RM1.5 juta.

Dalam tempoh sama, sebanyak 127 buah rumah diluluskan untuk dibaik pulih melibatkan peruntukan sebanyak RM2.8 juta.

Semaon tidak menafikan permohonan yang diterima saban tahun semakin meningkat, namun ujarnya, kelulusan hanya diberi jika seseorang veteran itu memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Tegasnya, terdapat satu jawatankuasa khas yang berperanan untuk membuat penilaian sebelum permohonan sama ada bina rumah baharu atau baik pulih rumah diluluskan.

“Daripada 10 permohonan, dianggarkan lima hingga tujuh diluluskan. Ini (penilaian kelulusan) penting supaya kita dapat manfaatkan peruntukan yang diberi kerajaan kepada mereka yang betul-betul layak supaya tiada ketirisan dan pembaziran terjadi.

“Setiap tahun veteren baharu yang keluar (pencen) kira-kira 5,000 orang. Jumlah veteran yang berdaftar dengan kita setakat ini seramai 220,052, termasuk yang berpencen dan tidak berpencen. Sebab itu trend kita lihat dari tahun 2021, permohonan pasti meningkat setiap tahun,” katanya.

Ditanya pula sama ada JHEV berdepan dengan cabaran kenaikan kos pembinaan dan baik pulih, Semaon mengaku berlaku pe­ningkatan lebih-lebih lagi dengan kewujudan perbezaan harga antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

Ujarnya, kos pembinaan seunit rumah lebih rendah bagi Semenanjung iaitu RM75,000 berbanding Sabah (RM80,000) dan Sarawak (RM85,000), manakala bagi kos baik pulih seunit rumah, di Semenanjung ia berjumlah RM17,000 dan RM20,000 untuk Sabah dan Sarawak.

“Ada pula lokasi yang agak mencabar dari aspek bentuk muka bumi atau jenis tanah yang tidak sesuai, maka kosnya akan me­ningkat kerana bahan digunakan sedikit mahal. Tetapi JHEV sangat fleksibel, pembinaan rumah baharu contohnya tidak terhad kepada RM75,000 seunit.

“Perkara sebegini memang tidak dapat dielakkan dan JHEV tetap akan luluskan. Kami juga berbesar hati apabila setiap kos pembinaan rumah baharu ditanggung sebanyak RM20,000 oleh SPNB.

“Peningkatan harga itu ada tetapi tidak begitu ketara. Saya kira kos bahan binaan masih lagi dalam kawalan. Bagaimanapun, jika suatu hari nanti kos semakin tinggi tidak sesuai dengan peruntukan yang ada, JHEV akan semak semula dengan pihak berkaitan seperti jurutera dan sebagainya,” jelasnya.

Tambah beliau, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai ‘projek sakit’ kerana setiap pembinaan rumah mengambil masa sekitar tiga bulan sahaja untuk disiapkan, malah kontraktor yang dipilih adalah bertauliah dan telah disaring supaya berdaftar dengan SPNB.

Semaon turut menggalakkan para veteran ATM yang berstatus kontraktor pembinaan untuk berdaftar dengan SPNB bagi me­rebut peluang untuk menjadi kontraktor terlibat dalam inisiatif pembinaan rumah baharu ini.

“Saya juga menyeru semua golongan veteran yang berkelayakan untuk memanfaatkan bantuan yang disalurkan kerajaan agar tiada yang tercicir dalam menaik taraf hidup masing-ma­sing,” katanya.

Apa Kata Penerima

Mindef 1
Bedah Din, 71, penerima Insiatif Bina Rumah Baharu di Kampung Pagoh Dalam, Alor Gajah, Melaka

“Sebelum arwah suami meninggal dunia, dia yang nak sangat bina sebuah rumah untuk kami sekeluarga. Sampailah dia ‘pergi’ dahulu pada tahun 2019. Kini, saya gembira dapat tunaikan hasrat Allahyarham suami untuk membina sebuah rumah di atas tanah pusaka. Seronok saya anak beranak beraya di rumah baharu tahun ini.”

Mindef 2
Rokiah Salleh, 61, Penerima Insiatif Bina Rumah Baharu di Batu Pahat, Johor

“Saya tak pernah bermimpi untuk ada rumah sendiri sebab jaga arwah suami strok selama 11 tahun. Tambah pula saya hanya menjual kuih, tidak mampu membeli rumah. Alhamdulillah proses untuk bina rumah baharu sungguh lancar dan memudahkan dengan bantuan Pengarah JHEV Johor.”

Mindef 3
Zakaria Wahab, 61, Penerima Insiatif Program Baik Pulih di Muar, Johor

“Saya bapa kepada lima anak, isteri seorang suri rumah. Selepas berhenti menjadi tentera kerana menjaga ibu sakit, saya bekerja sebagai pengawal keselamatan sampai diberhentikan pada usia 60. Kini hanya buat kerja-kerja sampingan untuk mencari rezeki. Lama bumbung dapur saya bocor, nak baiki tiada duit. Saya bersyukur dengan bantuan JHEV, rumah saya yang dahulunya banyak mengalami kerosakan, kini dapat dipulihkan.”