SEGAMAT – Jenazah pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Allahyarhamah Manarina Hasya Muhammad Karim yang maut dilanggar bas di dalam kampus induk Sintok, Kedah semalam selamat disemadikan di kampung halamannya, malam ini.
Jenazah pelajar semester keempat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chempelak, Labis di sini, kira-kira pukul 11.45 malam.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan tanah perkuburan apabila kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung mengiringi perjalanan terakhir anak sulung empat beradik itu.
Terdahulu, jenazah Manarina Hasya yang dibawa dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah kira-kira 1.15 tengah hari selepas dituntut pihak pengurusan UUM tiba di Masjid Jamek Nur Hidayah, Felda Chempelak, Labis kira-kira pukul 11 malam menggunakan van jenazah Pusat Islam UUM.
Jenazah diimamkan Imam Mohamad Abdullaits Mohd Ardani dengan dihadiri kira-kira 200 jemaah.
Semalam, Kosmo! melaporkan Manarina Hasya disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang ketika menerima rawatan di HSB, Alor Setar.
Mangsa mengalami kecederaan parah pada anggota badan selepas dirempuh sebuah bas ketika beratur menaiki bas di perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM Sintok kira-kira pukul 8.45 pagi. – https://amiminerals.org/