BALING – Jenazah kanak-kanak autistik, Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri, 4, yang ditemui di Sungai Kupang pada Isnin lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Belakang Balai Polis Kupang, di sini hari ini.
Datuk arwah, Aziz Saad, 60, berkata, seluruh keluarganya terutama ibu bapa Muhammad Fayyad iaitu Mohd Fakhri Aziz, 30, dan Nur Atikah Yusuf, 27, bersyukur apabila jenazah anak tunggal mereka dapat dikebumikan selepas empat hari berada di Jabatan Forensik HSB.
“Alhamdulillah, jenazah Fayyad selamat dikebumikan pada pukul 5.30 petang tadi selepas solat jenazah di Masjid Ehsaniah, Kupang. Fayyad hilang pada hari Jumaat, jumpa mayatnya pada hari raya pertama dan dikebumikan juga pada hari Jumaat yang mulia ini,”katanya di sini hari ini.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dikhuatiri hilang selepas disedari tiada di kawasan rumahnya di Kuarters JPS Kampung Landak Paya, Kupang sebelum mayatnya ditemui di Sungai Kupang pada hari raya pertama lalu. – https://amiminerals.org/