TUMPAT – Solat Jumaat di Masjid As Solihin, Mukim Bendang Pak Yong di sini terpaksa diganti dengan solat zuhur apabila jemaah yang hadir tidak mencukupi 40 orang.
Keadaan itu berlaku apabila pekarangan masjid itu dinaiki air sehingga menyebabkan jemaah terpaksa menaiki bot malah antara jemaah berjalan kaki meredah banjir untuk menunaikan solat.
Imam Masjid As Solihin, Anuar Daud berkata, ini merupakan kali kedua solat Jumaat tidak dapat dilaksanakan apabila Kampung Bendang Pak Yong dan beberapa kampung lagi dilanda banjir selama 10 hari.
Menurutnya, penduduk di kampung itu tidak dapat menunaikan solat Jumaat pada minggu lalu kerana masjid tersebut tenggelam banjir.
“Pada hari ini, jemaah pula tidak cukup. Hanya 20 orang penduduk kampung datang ke masjid hari ini manakala yang lain masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kampung ini pasti terjejas setiap kali musim banjir, tetapi hanya pekarangan masjid sahaja ditenggelami air. Banjir kali ini lebih buruk dari 1967 dan 2014 apabila air masuk ke dalam masjid sehingga merosakkan almari, kitab dan al-Quran,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid As Solihin, Mukim Bendang Pak Yong di sini hari ini. – https://amiminerals.org/