KUALA LUMPUR – “Syarikat janji akan bayar balik pelaburan saham saya bermula April lalu sebanyak RM2,000, tetapi hanya dapat RM500.”
Demikian keluhan Saiful Anuar, 58, salah seorang mangsa pelaburan saham tidak sah oleh sebuah syarikat hartanah yang didakwa mengakibatkan kerugian lebih RM3 juta kepada 64 individu.
Menurutnya, syarikat itu berjanji akan menebus semula pelaburan saham mereka selepas para mangsa membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
“Pelaburan saham saya sebanyak RM60,000 menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Rundingan diadakan dan syarikat itu berjanji akan bayar semula saham kami berdasarkan jadual pembayaran ditetapkan.
“Pembayaran pertama mengikut jadual pada April sepatutnya sebanyak RM2,000, namun kami hanya dapat RM500. Kami berasa seperti dipermainkan,”katanya kepada pemberita pada sidang media anjuran MHO di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa hanya mahu dikenali sebagai Mad, 50, berkata, dia dimaklumkan ada mangsa yang tidak dapat bayaran balik walaupun hanya RM500 seperti yang diterimanya.
Menurutnya, perkembangan terbaru itu menyebabkan mereka sukar untuk mempercayai syarikat berkenaan akan melunaskan janji kepada para mangsa.
“Saya percaya kepada pelaburan saham ini kerana ia dipromosikan oleh individu ternama dan ustaz selebriti. Itu buat kami tertarik dan saya melabur RM100,000,”katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada 64 individu yang mengesyaki mereka telah ditipu oleh seorang individu di sebuah syarikat tempatan.
Kata beliau, mangsa-mangsa terbabit mengalami kerugian sebanyak RM3,021,600.40 selepas terperdaya dengan tawaran program pelaburan saham yang tidak sah atau tidak berdaftar di bawah perundangan.
“Syarikat disyaki telah menawarkan saham biasa kepada para pelabur awam tanpa sebarang prospektus yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut,”katanya.
Tambah beliau, program pelaburan saham biasa (Pre-IPO) yang dianjurkan dan ditawarkan juga disyaki tidak berlaku seperti yang diterangkan atau dimaklumkan kepada mangsa-mangsa semasa representasi dan penerangan program pelaburan saham dilakukan oleh wakil syarikat.
Justeru, katanya, MHO menyerahkan aduan para mangsa kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini. – https://amiminerals.org/