Jangan terperdaya trip \’nikah dulu bayar kemudian\’ di Thailand

NAIM NIKAH

Mohd Na’im ketika bergambar bersama biasiswa pada Majlis Penyampaian Biasiswa Al-Falah Madani di bawah produk myWaqafPTPTN di ibu negara, hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia digesa tidak terpengaruh dengan tawaran ‘trip nikah dahulu bayar kemudian’ di Thailand demi kemaslahatan atau kepentingan semua pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, undang-undang perkahwinan di Malaysia diwujudkan bagi memberi keadilan kepada semua pihak khususnya kepada para isteri dan anak-anak sedia ada.

“Promosi cara begitu adalah tidak betul kerana ia seolah-olah mengalakkan rakyat Malaysia untuk nikah secara mudah dengan melanggar undang-undang negara.

“Nikah itu sunah dan tanggungjawab. Bukan sahaja perlu patuhi hukum nikah, tetapi perlu juga patuh kepada undang-undang sedia ada untuk melindungi semua pihak secara adil,”katanya ketika hadir ke Majlis Penyampaian Biasiswa Al-Falah Madani di sini, hari ini.

Beliau berkata, paling dibimbangi adalah masyarakat bukan sahaja berisiko melanggar undang-undang, malah berpotensi menjadi mangsa penipuan scammer.

“Kepada yang belum atau sudah berkahwin, patuhi undang-undang yang diperuntukkan di bawah akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-negeri kalau mahu bernikah (lagi).

“Berhati-hati dengan promosi sebegitu. Paling dibimbangi, kena scam (tipu). Nak cepat nikah (kononnya), tetapi kena scam pula,”tegasnya.

Terdahulu media melaporkan, tular di TikTok mengenai tawaran ‘Trip Nikah Thailand’ yang sedia menawarkan nikah dahulu bayar kemudian dengan caj serendah RM1,699 sahaja. – https://amiminerals.org/.