‘Jangan main-main, ekor ikan keli boleh jadi punca putus kawan’

WhatsApp Image 2024 12 24 at 5.59.44 PM

Ekor ikan keli digoreng rangup yang boleh menjadi punca pergaduhan.

PETALING JAYA – Siapa sangka, perkara kecil seperti ekor ikan keli boleh mencetuskan perbalahan atau selisih faham.

Perkara itu tular apabila seorang pengguna Facebook Khairul Ezuwan, berkongsi pengalaman lucu mengenai ekor ikan keli.

“Nampak kecil, tapi jangan main-main. Ini pun boleh jadi punca putus kawan. Jangan rembat ekor ikan keli dalam pinggan orang. Dia bukan tak makan, dia nak makan ‘last’ (terakhir). Saya pernah buat kat kawan, sampai sekarang dia ungkit,” katanya.

Rata-rata pengguna media sosial bersetuju ekor ikan keli menjadi bahagian paling ‘istimewa’ dan digemari ramai terutama apabila digoreng rangup.

Seorang pengguna, Shaiful Nizam mengakui tanpa hujung ekor keli, dia sanggup menolak untuk membeli lauk tersebut.

“Kalau tiada hujung ekor keli sanggup tak nak beli ikan keli goreng,” katanya.

Hany Mia Azman pula berkata, bahagian ekor keli yang belum digoreng tidak menarik perhatian, namun menjadi rebutan sebaik sahaja dihidangkan.

“Saya setuju. Ekor keli sebelum digoreng memang tak dipandang, bahkan tak ada siapa pun berkenan, tapi habis bila digoreng. Tambah pula, tengah panas-panas makan dengan nasi letak kicap, biasanya ekor keli tu yang ghaib dulu,” jelasnya.

Bagi Nurulaini Ariffin, perkara yang sama berlaku kepada anak-anaknya bahkan boleh menyebabkan masing-masing merajuk apabila tidak diberikan ekor ikan keli.

Melati Omar, pula memberikan peringatan mesra kepada semua yang berkongsi hidangan.

“Apa-apa yang dalam pinggan, yang terakhir tu bukan tak nak tapi nak makan akhir sekali. Nak meratah dan menikmati. Dilarang keras untuk ambil,” katanya. – https://amiminerals.org/