SEBAGAI manusia sesiapa sahaja tidak lari daripada berbuat silap termasuk agamawan bergelar ustaz atau ustazah.
Namun apa yang menyedihkan onar yang dilakukan segelintir mereka telah menyebabkan yang lain juga terpalit bau busuknya sekali gus kesucian agama Islam tercemar dan dipandang remeh oleh orang Islam sendiri.
Apatah lagi, sejak akhir-akhir ini isu penunggang agama semakin hangat diperkatakan apabila terdapat pihak yang berimej pempengaruh islamik dan pendakwah didakwa dengan pelbagai salah laku undang-undang.
Sebagai contoh kes pendakwah selebriti, Da’i Syed dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.
Antara komen diterima apabila kes-kes berkenaan dilaporkan media adalah:
“Alah, pakai kopiah, bertudung labuh belum tentu baik. Penunggang agama!”
“Saya lebih selesa menjadi diri sendiri (tidak memakai tudung) daripada berimej islamik tetapi dalam diam buat perkara terkutuk.”
Bak kata pepatah ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Senario itu sangat membimbangkan kerana disebabkan persepsi tersebut dibimbangi makin melarat.
Oleh itu, pendakwah-pendakwah juga sukar menjalankan kerja menyebarkan ilmu agama dan keindahan Islam kerana persepsi negatif masyarakat.
Mengulas mengenai perkara itu, Felo Utama Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, umat Islam perlu sama-sama mempertahankan kesucian agama ini dan jangan pukul rata sehingga menghakis kewibawan institusi agama, pendakwah dan ulama.
“Masyarakat perlu bijak membezakan mereka yang benar-benar pendakwah atau ustaz segera yang diangkat di media sosial dan sebagainya.
“Boleh sebut beberapa patah ayat al-Quran sudah dipanggil ustaz. Ini yang bahaya sehingga merosakkan nama pendakwah lain yang benar-benar membawa kesucian agama Islam.
“Jika dibiarkan, kewibawaan mereka yang memegang panji-panji agama Islam ini akan terhabis,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambahnya, semua pihak perlu memainkan peranan mendidik masyarakat supaya jangan mudah terperdaya dengan dakyah-dakyah penunggang agama yang semata-semata untuk kepentingan diri.
“Jangan gunakan agama untuk populariti dan meraih kekayaan sehingga sanggup mencalarkan imej Islam dan menyebabkan para ulama terpalit sama.
“Perkara ini sangat merisaukan pada saat ini kerana semua orang mendapat akses kepada media sosial dan ini memudahkan untuk menyebarkan dakyah mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai jangan mudah terperdaya, selidik dahulu dan jangan mudah menjatuhkan hukum kepada pendakwah atau ulama yang lain hanya kerana segelintir yang bermasalah.
“Selain itu, pihak berkuasa agama juga perlu sentiasa pantau dan ambil tindakan jika perlu supaya perkara ini tidak berterusan serta menjadi duri dalam daging,” katanya. -https://amiminerals.org/