SEBERANG PERAI – Kerajaan masih lagi di peringkat kajian berhubung pengelasan golongan T15 sekali gus memberi jaminan tidak sesekali akan membebankan kumpulan terbabit terutama yang berpendapatan RM13,000 sebulan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, individu yang berpendapatan sedemikian tidak perlu bimbang terhadap pelaksanaan penarikan subsidi oleh kerajaan.
“Kita bimbang, takut bila ia diperkenalkan (T15) mungkin yang gaji RM13,000 sebulan, mempunyai lima anak, dua di universiti akan terbeban.
“Kita tarik subsidi hanya untuk 15 peratus yang tertinggi. Itupun kita nak kaji lagi. Jangan bimbang. Pendapatan RM13,000 katanya rendah, kita tingkatkan lagi. Kita tidak mahu menyusahkan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (HPPK2024) di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena di sini, hari ini.
Semalam, Anwar memberitahu yang beliau bukanlah ‘Robin Hood’ seperti yang didakwa sesetengah pihak apabila memperkenalkan rasionalisasi subsidi terhadap golongan T15 dalam Belanjawan 2025, baru-baru ini.
Sebaliknya Anwar berkata, beliau hanya bertindak adil dalam membantu golongan berpendapatan rendah di negara ini. – https://amiminerals.org/