PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam Dalam Media Baharu (2024) di laman web rasmi agensi tersebut hari ini.
Kandungan media tertakluk di bawah garis panduan itu merangkumi laman sesawang, blog, podcast, aplikasi, perisian, permainan digital, Facebook, YouTube, TikTok, Instagram, X (Twitter), Telegram, WhatsApp dan Wechat.
Ia sebagai rujukan untuk pempengaruh, pencipta kandungan, pendakwah, penggiat seni, pengkarya, pencipta aplikasi dan orang awam yang terlibat dalam kandungan bahan media baharu.
Garis panduan itu memberi panduan dalam menentukan kesesuaian kandungan supaya tidak menyimpang daripada ajaran Islam berpandukan pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah.
Ia juga sebagai asas rujukan dan panduan kepada agensi penerbitan, penapisan dan pengawalan isi kandungan demi menjaga akidah dan syariat Islam.
Bahagian pertama Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam Dalam Media Baharu (2024) menetapkan enam dasar utama yang menjadi kewajipan dan amanah kepada semua penyedia kandungan.
Pertama, perlu memastikan sumber maklumat adalah berautoriti, dipercayai dan berwibawa; kedua, mendapat kebenaran daripada sumber maklumat asal atau menyatakan penghargaan atau kredit kepadanya.
Ketiga, petikan atau bacaan ayat al-Quran adalah tepat; keempat, matan, terjemahan atau huraian Hadith yang digunakan adalah tepat dan kelima adalah kandungan berkaitan akidah selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Keenam, kandungan berkaitan hukum-hakam adalah selari dengan apa yang dinyatakan oleh para ulama muktabar.
Bahagian kedua adalah berkenaan kandungan berunsur Islam sama ada dalam bentuk penulisan, dialog, lakonan, bunyi, gambaran, ilustrasi, simbol, lambang dan lain-lain.
“Ia hendaklah tidak membawa kepada perkara yang dapat merosakkan akidah, syariat dan akhlak secara tersurat atau tersirat,”kata garis panduan tersebut.
Perkara yang perlu diberikan perhatian dan penelitian adalah mempersoalkan kewibawaan sumber-sumber hukum Islam yang utama iaitu al-Quran, al-Sunnah, ijma’ dan qiyas.
Mempersendakan dan menghina kemuliaan agama Islam, rukun iman, rukun Islam dan perkara-perkara asas dalam Islam (al-maʿlum min al-din bi al-darurah)
Mempropaganda akidah, doktrin, kepercayaan, ajaran, hukum dan fahaman yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah secara langsung atau tidak langsung.
Mengandungi perkara-perkara khurafat, tahyul, syirik, bid’ah dan adat yang menyalahi Islam serta memapar dan menyebarkan hadith palsu (maudhu’)
dan kisah-kisah Isra’iliyyat.
Mengandungi perkara yang bertentangan dengan fatwa atau pandangan hukum yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti
Memaparkan gambaran para rasul atau nabi, malaikat, sahabat yang empat, syaitan dan perkara-perkara ghaibiyyat serta menyalahi atau mengelirukan fakta yang dapat menimbulkan salah faham dan kekeliruan.
Menjalankan atau mempromosikan apa-apa aktiviti perniagaan, pelaburan, perkhidmatan atau skim yang tidak patuh syariat dan undang-undang.
Mempropaganda fahaman yang ekstrem, melampau, fanatik, radikal atau islamofobia serta mengandungi percakapan dan perbuatan yang menyalahi nilai akhlak Islam.
Mempropaganda pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram dan gaya hidup songsang. – https://amiminerals.org/