PETALING JAYA – Penghasil kandungan YouTube dan pelawak, Nigel Ng yang lebih popular dikenali sebagai Uncle Roger telah membuka restoran pertamanya di Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur hari ini.
Pembukaan pada hari pertama itu ternyata mendapat sambutan hebat daripada orang ramai apabila ada yang sanggup menunggu seawal pukul 6 pagi di hadapan pusat membeli belah tersebut agar tidak melepas peluang merasai menu sajian di restoran ‘FUIYOH! It’s Uncle Roger’ bertempat di tingkat tujuh Pavilion.
Dalam pada itu, nama Uncle Roger sohor di laman X dengan lebih 20,000 ciapan menggunakan tanda pagar (#) uncleroger sejak pagi tadi.
Menerusi semakan Kosmo! di TikTok @Foodie, pempengaruh, Pin Yang sempat bertanya kepada Uncle Roger mengenai status halal restorannya.
Menurut Uncle Roger, ia masih dalam proses permohonan dan beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin bersama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kami sedang mohon sijil halal daripada Jakim. Jakim cepat sedikit. Kenapa begitu lama? Cepat-cepat bagi saya sijil,” seloroh Uncle Roger menerusi video yang dikongsikan @Foodie hari ini. – https://amiminerals.org/