Jaga-jaga ‘kaki ponteng’ puasa, anda diperhati – Jawi

berpuasa

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) meneruskan usaha pemantauan dan rondaan bagi memastikan umat Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan menghormati bulan Ramadan.

Walaupun setakat ini tiada individu Islam yang ditahan kerana tidak berpuasa di tiga Wilayah Persekutuan terbabit, namun Jawi tetap komited menjalankan pemantauan berkala di bazar Ramadan, premis makanan, dan restoran.

“Sepanjang tempoh pemantauan dan rondaan, pihak Jawi telah mengedarkan risalah “Ramadan Dihormati, Ummah Dirahmati” di premis makanan atau restoran sebagai peringatan untuk menghormati bulan Ramadan.

“Jawi akan sentiasa membuat rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa pada setiap hari supaya umat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan bebas daripada unsur-unsur pelanggaran Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997) Akta 559,” kata Jawi dalam kenyataan kepada Kosmo! hari ini.

Mengulas mengenai tempat ‘hotspot’ geng ‘plastik hitam’, Jawi memberitahu pihaknya terbuka menerima aduan daripada orang awam sekiranya melihat perbuatan tersebut dilakukan oleh individu Islam yang mengabaikan ibadah puasa.

“Sehingga kini, tiada lokasi-lokasi (hot spot) menjadi tempat berkumpul geng plastik hitam di rumah-rumah kosong atau ladang atau tanah perkuburan atau tempat-tempat yang diadu oleh orang awam.

“Pihak Jawi sentiasa akan menerima aduan daripada orang ramai yang mensyaki tempat tersebut adalah tempat hot spot kepada orang Islam yang melanggari Akta 559, Seksyen 15 – Tidak Menghormati Ramadhan,” jelas kenyataan itu.

Jelas Jawi, setiap aduan berkaitan boleh dibuat melalui panggilan Hotline Penguat Kuasa Jawi di talian 1-800-88-1771 (Kuala Lumpur), 03-88903055 (Putrajaya) dan juga 087-415311 (Labuan).

Sementara itu, Jawi menegaskan bahawa mana-mana individu beragama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang melanggari Seksyen 15 – Tidak Menghormati Ramadhan: Akta 559, mereka bakal berdepan tindakan undang-undang.

Dalam masa sama, Jawi mengingatkan bahawa pemantauan bukan sekadar bertujuan menguatkuasakan undang-undang, tetapi juga untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan ibadah puasa sebagai satu bentuk ketaatan kepada perintah Allah SWT.

“Elemen ini diterjemahkan menerusi aktiviti pengimarahan di masjid atau surau bawah urus tadbir Jawi berbentuk tazkirah, ceramah dan forum perdana berkaitan kewajipan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan, Bulan Yang Suci,” kata Jawi. – https://amiminerals.org/