Jadi tauke tepung pelita sebab surat khabar

tepung pelita

Wan Som menunjukkan kuih tepung pelita air tangannya di Kampung Teluk Tasik, Setiu semalam.

SETIU – Seorang wanita tidak menyangka kuih tepung pelita yang dicubanya daripada resipi surat akhbar pada 29 tahun lalu ternyata memberi rezeki sehingga menjadi pengusaha kuih berjaya.

Wan Som Wan Ismail, 60, berkata, kuih tepung pelita yang dihasilkan telah mendapat sambutan dan dia mampu menjana pendapatan mencecah RM5,000 sebulan.

“Saya tertarik untuk mencuba resipi kuih tepung pelita yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada tahun 1995 kerana ramuan yang digunakan nampak ringkas dan mudah.

“Pada peringkat awal, kuih yang menggunakan resipi tersebut menjadi kegemaran ahli keluarga dan kenalan sebelum saya berani menjualnya pada tahun 2007,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Tasik di sini semalam.

Wan Som berkata, waktu itu, dia mencuba nasib menghantar kuih tepung pelita buatannya di kedai-kedai makan di sekitar rumahnya. 

Tambahnya, permintaan terhadap kuih tersebut kini berkembang pesat sehingga mendapat tempahan bukan sahaja di seluruh negeri ini malah Melaka, Lembah Klang dan Kelantan.

“Tempahan kuih tepung pelita diterima kini mampu mencecah 1,000 bekas setiap hari. 

“Saya menawarkan kuih tersebut dalam tiga saiz pada harga RM0.70, RM2 dan RM 3 sebekas,”katanya.