Isu Jalur Gemilang: Pegawai terlibat dikenal pasti

809f6926 5d78 42f4 973d 79e221e548b6

Shamsul Azri.

PUTRAJAYA – Kerajaan mengenal pasti pegawai terlibat dalam kesilapan paparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tindakan sedang diambil menerusi Lembaga Disiplin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kesemua yang terlibat itu telah dikenal pasti yang mana ada dua kumpulan iaitu atas dan di bawah Gred 48 (Gred 12).

“Pegawai di bawah Gred 48 akan dikendalikan oleh KPM dan gred atas 48 akan diambil tindakan oleh JPA,”katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Persidangan Antirasuah Asia Tenggara, di sini hari ini.

Ujarnya, laporan mengenai insiden tersebut telah dihantar KPM kepada JPA.

“Ya, sedang dan akan diambil tindakan,”jelasnya.

Sebelum ini, Shamsul Azri memaklumkan, kerajaan akan mengambil tindakan bersesuaian selepas menerima laporan penuh berhubung kes tersebut dan telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Dr. Aminuddin Hassim untuk menyediakan laporan lengkap mengenai isu itu.

Beliau mahu semua pihak termasuk kementerian dan agensi kerajaan supaya lebih berhati-hati terutama dalam isu paparan Jalur Gemilang. – https://amiminerals.org/