Isteri dipaksa rujuk boleh fail fasakh, khuluk

Sedutan drama Andai Tiada Dia yang menjadi sebutan isu rujuk secara paksaan.

Sedutan drama Andai Tiada Dia yang menjadi sebutan isu rujuk secara paksaan.

PETALING JAYA – Seorang isteri yang dipaksa untuk rujuk semula dengan bekas suami semasa tempoh iddah tanpa kerelaan boleh menuntut fasakh atau khuluk di mahkamah.

Pendakwah bebas, Ustaz Izmir Fareez berkata, sekiranya permohonan fasakh telah dibuat oleh isteri, dan kemudian suami melafazkan talak maka mereka tidak boleh rujuk atau kahwin semula.

“Kepada para isteri yang tak suka rujuk balik pada suami, dipaksa rujuk, maka selepas selesai kaedah rujuk, maka si isteri boleh failkan perceraian di mahkamah untuk khuluk atau fasakh.

“Selepas daripada itu, kalau dia cerai atau pun dia rujuk balik semula sehingga habislah talaknya, maka tidak boleh kahwin semula.

“Dan kes ini adalah ketika isteri dalam iddah sahaja, jika isteri dah habis iddah mana boleh paksa lagi untuk rujuk dengan dia. Apatah lagi kalau talak tiga sudah dilafazkan,” terangnya dalam satu perkongsian video di media sosial.

Menurut Ustaz Izmir, suami hanya mempunyai ‘kuasa’ sebanyak tiga kali ketika melafazkan talak dan dua kali untuk rujuk.

“Talak yang ada pada suami hanya tiga, dan rujuk yang ada pada suami hanya dua. Jadi bila dah talak, rujuk, talak, rujuk, talak, maka habislah,” katanya.

Sebelum ini, peguam syarie, Izzat Rahimm menerusi satu hantaran di TikTok berkata, tindakan rujuk tanpa persetujuan isteri adalah sah di sisi syarak kerana ia merupakan hak mutlak suami, sama seperti hak untuk melafazkan cerai.

“Lafaz rujuk itu sah walaupun tanpa persetujuan isteri kerana rujuk adalah hak suami, sama seperti lafaz cerai. Jika lafaz rujuk memenuhi rukun-rukun dan syarat sah rujuk, maka ia tetap dikira sebagai lafaz rujuk yang sah,” katanya.

Izzat turut menjelaskan, tiga perkara iaitu yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh atau secara main-main sekalipun tetap akan menjadi sah, iaitu nikah, cerai, dan rujuk (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). – https://amiminerals.org/