BANGI – 2nd International Nanotechnology Olympiad (INO) 2024 yang berlangsung dari 14 hingga 18 November lalu merupakan platform terbaik bagi memberi pendedahan kepada saintis dan penyelidik di dalam negara.
Pertandingan kali kedua itu dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC).
Ia turut dijayakan dengan kerjasama Sekretariat Tetap INO, Iran Nanotechnology Innovation Council (INIC), Pertubuhan Asia Nano Forum (ANF), Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS) dan Persatuan Nanoteknologi Malaysia (MNA).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, Malaysia berbesar hati menjadi tuan rumah bagi penganjuran acara berkenaan, yang sebelum ini diadakan di Iran.
“Inisiatif seperti ini adalah penting untuk negara sebagai usaha dalam memberikan pendedahan sebanyak mungkin kepada saintis serta penyelidik bagi membangunkan ekosistem nanoteknologi yang mampan.
“Jadi, dengan kerjasama antarabangsa ini, kita dapat memberikan satu suntikan bukan sahaja daripada aspek semangat, malah perkongsian pengetahuan dalam bidang nanoteknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup INO 2024 yang diadakan di Bangi Resort Hotel, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Chang Lih Kang berkata, penganjuran pertandingan itu selari dengan Dasar & Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021-2030 dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) .
“Saya jangkakan pada masa akan datang, kita akan perbanyakkan lagi usaha dan program seperti ini dalam bidang nanoteknologi, sekali gus membangunkan ekosistem hidrogen yang kukuh,” ujarnya.
INO 2024 disertai oleh penuntut Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah daripada negara-negara ahli tetap dan ahli bersekutu pertubuhan ANF.
Bagi penganjuran tahun ini, INO menerima penyertaan enam pasukan iaitu dua pasukan Malaysia, serta satu pasukan masing-masing yang mewakili Taiwan, Thailand, Iran dan Hong Kong.
Dalam pertandingan itu, setiap pasukan mempertandingkan cadangan penyelidikan bagi penyelesaian dengan pengaplikasian nanosains dan nanoteknologi, yang bertemakan Aplikasi Nanoteknologi Bagi Tenaga Alternatif.
Ketua Kumpulan Malaysia 1, Eugene Ling Wei Hong berkata, pihaknya berbangga apabila berjaya membawa pulang pingat emas bagi kategori The Best Project in Science and Technical Development.
“Kami pilih wayar silikon nano sebagai fokus utama untuk projek kali ini, kerana ia adalah satu teknologi sedia ada yang mantap dan kami cuba import teknologi ini dalam industri untuk tujuan komersial.
“Secara asasnya, penyelesaian yang kami cuba tawarkan adalah dengan mengaplikasikan wayar silikon nano kepada teknologi hidrogen hijau,” katanya.
Bagaimanapun, Eugene Ling mengakui, kumpulannya turut berdepan cabaran antaranya dalam mengenal pasti kekangan dan risiko apabila menguruskan hidrogen.
“Secara keseluruhan, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak MOSTI dan NNC di atas penganjuran INO 2024, yang memberi kami peluang untuk turut serta,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyelia pasukan Iran, yang merupakan pemenang bagi kategori The Best of The Best, Prof. Masoud Atapour berkata, pihaknya memilih penggunaan nano-coatings and material (salutan nano dan bahan) sebagai penyelesaian kepada masalah tenaga.
“Objektif utama kami adalah untuk membangunkan teknologi nano yang bersesuaian dan mampan.
“Kami percaya tenaga hidrogen hijau boleh menyelesaikan pelbagai masalah terutama berkaitan pencemaran udara,” ujarnya.
Tambah Masoud, beliau yakin, penganjuran INO 2024 dapat membuka peluang kepada Iran untuk menjalinkan kerjasama dengan Malaysia bagi membangunkan inovasi yang lebih mampan pada masa hadapan.
Sementara itu, pasukan dari Hong Kong memenangi emas bagi kategori The Most Novel and High Impact Idea, manakala Taiwan merangkul emas bagi The Best Project in Business Development.
Kumpulan Malaysia 2 dan Thailand pula masing-masing memenangi pingat Perak.
Setiap pemenang pingat emas membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, sementara pemenang The Best of The Best menerima RM15,000.
Majlis Penutup INO 2024 turut menyaksikan simbolik penyerahan tuan rumah untuk INO kali ketiga yang bakal diadakan pada tahun 2026 di Taiwan.