‘Inilah yang terbaik, nampak dan lapor’

lapor

Tangkap layar tindakan prihatin seorang lelaki dan anggota polis trafik memastikan pengguna jalan raya dapat elak lubang dalam di Jalan Conlay

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki dan anggota polis trafik mencuri perhatian orang ramai apabila mereka berdua berusaha untuk memastikan pengguna jalan raya tidak melanggar lubang yang dalam di sekitar Jalan Conlay menuju ke Prince Court Medical Centre.

Menerusi hantaran lelaki dikenali Ammar Anas di TikTok @driving4dummies, dia memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk mengambil gambar lubang tersebut seterusnya membuat aduan melalui aplikasi MYJalan.

Katanya, ketika sedang mengambil gambar, seorang anggota polis trafik turut berhenti dan meletakkan penghadang jalan.

“Tengah menunggang motor, ternampak lubang bahaya. Berhenti sekejap nak ambil gambar, tiba-tiba abang polis datang. Terus dia letak kon sebagai simbol ‘amaran’ kepada pengguna lain supaya tak terlanggar lubang tersembunyi tu.

“Cemas pada mulanya ingat kena saman. Momen ringkas tapi bermakna bagi saya, rakyat dan polis sama-sama jaga keselamatan,” katanya pada ruangan kapsyen hantaran tersebut.

Sementara itu, ramai yang memuji tindakan prihatin lelaki dan polis trafik itu dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan ia wajar dijadikan tauladan untuk semua.

“Alhamdulilah sentiasa niat yang baik untuk bantu semua orang. Terima kasih,”komen @safina.

“Inilah yang terbaik, nampak dan lapor. Polis trafik pun terbaik,”ujar @goforrafizi.

“Ada lubang terus kemaskini dalam aplikasi tu. Boleh kesan status aduan kita. Aku selalu kemaskini dalam tu kalau ada lubang jalan yang aku jumpa. Kalau kita viral saja lagi lambat sebab nak tunggu FYP lagi,”tulis @BadHaz. -https://amiminerals.org/