PETALING JAYA – Seorang lelaki warga emas mengundang sebak orang ramai apabila mengira jumlah hari kematian isterinya di dalam buku rekod bacaan gula setiap hari.
Menerusi gambar yang dimuat naik pegawai perubatan, Dr. Mohd. Redhuan Abdul Muin di akaun Thread, lelaki berusia 80 tahun itu adalah pesakitnya yang datang untuk melakukan pemeriksaan berkala.
Menerusi gambar itu, kelihatan rekod bacaan gula dicatatkan warga emas tersebut setiap pagi, tengah hari, petang dan malam.
Bagaimanapun, turut dicatatkan angka lain dan apabila ditanya warga emas itu memaklumkan, ia adalah bilangan hari isterinya dijemput Ilahi.
“Pak cik tulis dah berapa hari arwah mak cik meninggal. Hari-hari pak cik ziarah kubur arwah mak cik. Besar jasa dan pengorbanan mak cik pada pak cik selama ni,”kongsinya.
Beliau berkata, isteri lelaki tersebut meninggal dunia selepas diuji sakit selama lebih enam tahun.
“Memang pak cik yang jaga makan, minum, masak, mandi, kemas rumah. Pak cik memang jaga mak cik sampai hujung usia,”katanya.
Orang ramai terharu dengan perkongsian tersebut dan mendoakan akan kesihatan warga emas tersebut selain dipertemukan di syurga kelak bersama pasangannya.
“Tolonglah tengok indahnya hidup orang zaman dahulu. Bila hati kita mula berbolak-balik,”kata seorang pengguna Thread.
“Pak cik macam arwah abah saya, akan tulis macam-macam kat buku. Betapa setianya pak cik kepada isterinya,”kata seorang lagi individu.
“Semoga Allah sentiasa memuliakan pak cik,”komen seorang lagi pengguna Thread. – https://amiminerals.org/