PETALING JAYA – “Ini bukan ‘mencipan’ lagi, memang benar-benar sebuah perjalanan yang panjang” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Beliau secara berseloroh mengulas mengenai perjalanan yang perlu ditempuhinya dari Penang-Sabah-Johor Baharu- Rompin- Pulau Tioman atas urusan kerja.
Carian di internet menunjukkan perkataan ‘mencipan’ adalah dialek Negeri Sembilan yang bermaksud bergerak laju macam lipan.
Kata Fadhlina, tempoh perjalanan yang lama itu menyebabkan beliau beberapa kali bertanya kepada Timbalannya, Wong Kah Woh adakah mereka sudah tiba di destinasi.
“Bagai tidak percaya saya akhirnya sampai ke Rompin. Saya tiba di Pejabat Pendidikan Daerah Rompin untuk mempengerusikan Permukiman Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pemukiman kali ini turut menumpukan kepada perancangan pendidikan untuk negeri Pahang dan bagaimana kerja keras semua pihak pastinya akan memacu kualiti pendidikan di Pahang.
Menurut beliau, komitmen JPN Pahang ketika ini cukup tinggi dan beliau yakin pasukan JPN Pahang akan melakukan yang terbaik untuk negeri itu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih penduduk Rompin yang sanggup menunggunya sehingga selesai pemukiman pada lewat malam dan menghidangkan makanan yang lazat untuk rombongannya.
“Saya cukup terharu, disambut mesra dengan penuh kasih sayang walau kelelehan “mendobut” dari Sabah- Johor dan kemudian sampai ke Rompin. Maaflah andai muka saya ketika ‘berselfie’ dan sesi bergambar sudah tidak menyerupai orang,” katanya. – Iteenews.