Imej baik, lokasi strategik punca Malaysia jadi transit dadah

bukit aman

Mat Zani (tengah) ketika sidang akhbar berhubung kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Bukit Aman, hari ini. Foto oleh MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI

KUALA LUMPUR – Kedudukan Malaysia yang strategik dan imej baik di mata dunia menjadi antara faktor utama negara ini dijadikan lokasi transit oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, selain dikelilingi laut dan terletak berhampiran negara jiran, Malaysia dilihat sebagai destinasi ‘selamat’ untuk menghantar dadah ke luar negara.

“Jika penghantaran dibuat terus dari negara-negara di ‘Golden Triangle’ seperti Myanmar, Thailand dan Laos, kemungkinan besar ia akan diperiksa lebih terperinci oleh pihak berkuasa luar.

“Namun jika ia dihantar dari Malaysia, negara penerima mungkin tidak melakukan pemeriksaan secara mendalam (teliti) memandangkan imej baik kita di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, keupayaan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris dan Mandarin turut memudahkan pergerakan sindiket untuk beroperasi di negara ini.

“Faktor komunikasi juga memberi kelebihan kepada sindiket. Mereka boleh berurusan dan bergerak dengan lebih mudah kerana wujudnya pelbagai saluran serta kefasihan bahasa,” jelasnya.

Polis memberi jaminan bahawa siasatan yang dijalankan tidak hanya tertumpu kepada ‘ikan bilis’, sebaliknya turut memburu dalang utama yang dipercayai berada di Thailand.

“Kita sedang mengenal pasti dalang utama dan yakin tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat. Polis tidak akan menghentikan siasatan ini, malah pasukan kita sentiasa berada di sempadan untuk menjalankan risikan.

“Tanpa usaha berterusan ini, kita tidak mungkin berjaya membuat rampasan sebesar ini,” kata beliau.

Terdahulu, JSJN menumpaskan satu sindiket dadah yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit apabila menahan dua lelaki tempatan dan merampas 269 kilograms dadah bernilai RM13.6 juta dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Bandar Baru Seri Petaling di sini pada Isnin lalu. – https://amiminerals.org/