Ilmu asas perlu seiiring dengan teknologi AI – Anwar

WhatsApp Image 2024 11 01 at 15.24.41

Anwar Ibrahim ketika sesi Temu Anwar yang berlansung di Bangunan Lestari, UPNM di sini, hari ini. Gambar;MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan sepenuhnya khususnya dalam pembelajaran tanpa menyisihkan budaya membaca serta pemikiran kritikal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebergantungan penuh kepada AI akan mewujudkan permasalahan kepada penggunanya.

“Boleh bergantung pada AI, cuma jangan tinggalkan yang asas. Pengguna perlu membaca, belajar dan berfikiran kritis baru boleh memanfaatkan AI dengan sebaiknya.

“Kebergantungan keterlaluan kepada AI menyebabkan kita tak membaca dan cari semua jawapan di Google. Tapi di Google itu jawapannya, rumusan dan ringkasan.

“Yang tidak kita lakukan adalah membaca. Membaca itu adalah apabila kita menelaah buku, lihat daripada keseluruhan pemikiran, kita tidak ambil semua, hanya cebisan (ilmu),”katanya dalam program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini hari ini.

Menurut beliau, kerisauan terhadap teknologi berkenaan pernah diutarakan kepada pengasas teknologi AI, iaitu Ketua Syarikat Nvidia.

“AI itu rekaan Barat. Kita perlu melatih orang tempatan sehingga berkebolehan untuk memasukkan maklumat yang diperlukan supaya maklumat dan data yang ditafsir oleh AI dan hasil yang diterjemahkan itu sesuai dengan pemikiran, agama, budaya dan sejarah kita.

“Ini menarik, maknanya apa yang dimasukkan korpus ilmu itu, itulah yang akan ‘dimuntahkan’ keluar, tidak ada yang luar daripada itu.

“Peranan kita melatih, apabila kita sebut AI ini yang mana Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir sebut beberapa universiti sudah menumpukan (teknologi AI), penekanan itu bukan sekadar menguasai displin AI saja, tetapi untuk memastikan bahawa masukan itu memenuhi semua,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengguna untuk meneroka teknologi berkenaan susulan ia mempunyai batasan mutlak.

“Ia bukan masalah AI tetapi pengguna. Sebab itu jangan kita jadi negara yang hanya meminjam, menciplak tetapi mesti negara yang juga dalam usaha menggapai teknologi itu dan meneroka alam serta disiplin baharu yang mampu menyediakan masukan yang boleh membantu.

“Kedua, kita tahu ini ada batasan, sebab itu kalau kita tidak gunakan pemikiran, jawapan daripada AI yang dimuntahkan keluar itu sudah menjadi mutlak dan ini tidak cukup.

“Sebab itu, ilmu, nilai dan akhlak asas, keyakinan dan akidah kita juga penting supaya apa yang dimuntahkan itu dapat dinilai dan dipilih apa yang kita anggap utama dan apa yang kita anggap terkeluar daripada korpus pemikiran serta keutamaan kita,”jelasnya. -https://amiminerals.org/.