\’Ibu pesan jaga adik-adik, jangan berpisah\’

WhatsApp Image 2024 11 17 at 17.01.49

MUHAMMAD IKHMAL menunjukkan gambar arwah bapanya yang maut dalam kemalangan di Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pasir Gudang, Johor Bahru awal pagi tadi.

JOHOR BAHRU – Lima beradik menjadi yatim piatu dalam sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut akibat dilanggar pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai mabuk di Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pasir Gudang, di sini awal pagi semalam.

Muhammad Ikmal Danish, 15, berkata, bapanya, Mohd. Ridzwan Mohd. Rudi, 37, dan ibunya, Linda Mohd. A. Aziz, 35, sempat berpesan supaya dia menjaga empat adik beradik lain sehari sebelum mereka dijemput Ilahi.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia tidak menyangka pesanan tersebut merupakan petanda ibu bapa akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

“Beberapa hari sebelum (kemalangan) ini, ayah dan emak berpesan kepada saya jangan berpisah dengan adik-beradik walau apapun terjadi. Mereka cakap apa-apa pun (yang akan berlaku) jangan pisah. Jaga adik-adik,” katanya ditemui di rumah keluarganya di Flat Taman Cendana, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, pasangan suami isteri tersebut maut di lokasi akibat cedera parah selepas dirempuh MPV jenis Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun.

Bercerita lanjut, Muhammad Ikmal Danish memberitahu, ibunya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Johor Bahru selalu membawa pulang makanan yang diberikan majikan untuk disedekahkan kepada jiran-jiran di kawasan perumahan mereka.

“Jiran ada beritahu saya kali terakhir ibu menghantar makanan dia memakai tudung, baju dan seluar serba putih,”katanya.

Ditanya mengenai kemalangan itu, remaja tersebut memberitahu, dia mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa ibu bapanya selepas seorang rakan datang ke rumah pada hari kejadian.

“Pada hari kejadian, saya terjaga pukul 3 pagi. Saya mencari ayah dan emak tapi mereka tiada, biasanya ayah keluar bekerja (pemandu lori) tetapi hari kejadian ayah hantar ibu bekerja di kedai makan dan tidak pulang-pulang. Saya tidak dapat tidur sehingga ada rakan ketuk pintu beritahu ayah terlibat kemalangan,” katanya.

Selepas mendengar perkhabaran itu, nenek dan adik Muhammad Ikmal Danish pergi ke lokasi kejadian sebelum memaklumkan bapa mereka sudah meninggal dunia.

“Saya tidak percaya dan meminta tolong rakan pergi ke lokasi. Dalam perjalanan itu saya hanya mengharapkan salah seorang daripada mereka masih selamat, tetapi kedua-dua mereka sudah ‘tiada’ (meninggal dunia),” katanya sayu. -https://amiminerals.org/