KANGAR – Polis menahan seorang wanita berusia 29 tahun kerana disyaki menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi perempuannya di sebuah kedai makan di Kampung Rama, Sanglang dekat sini pada 19 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis menahan suspek di sebuah rumah di Simpang Empat kira-kira pukul 2.55 pagi ini.
“Suspek bekerja sebagai pembantu kedai makan dan tinggal bersama empat anak yang masih kecil, sementara suaminya berada di pusat tahanan serenti.
“Tangkapan dan rampasan melibatkan satu unit telefon bimbit, satu kad sim, satu keping kad memori, sebilah gunting, sehelai cadar berwarna coklat dan putih serta sampel uri yang dibakar suspek,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek telah mengaku melahirkan bayi perempuan di dalam tandas seorang diri tanpa bantuan di sebuah rumah di Jalan Tok Pulau, Simpang Empat kira-kira pukul 6.30 petang, 18 Januari lalu.
“Pada kira-kira pukul 4.30 pagi, keesokan harinya dia pergi ke sebuah kedai makan dengan menaiki kereta jenis Perodua Myvi milik rakan untuk membuang bayinya itu. Suspek direman selama empat hari bermula hari ini,”ujarnya.
Kosmo! pada 19 Januari lalu melaporkan, seorang bayi perempuan ditemui ditinggalkan di kedai makan di hadapan sebuah rumah di Sanglang, dekat sini. – https://amiminerals.org/