PETALING JAYA – Tidak sampai seminggu selepas ‘bising’ satu Malaysia, penganjur program permotoran Honda Day yang sebelum ini viral dengan memberi hadiah utama cabutan bertuah sebuah Honda Accord SM4 akhirnya menyerahkan hadiah sebenar kepada pemenang terlibat semalam.
Sebuah kereta BMW F30 menjadi pilihan pihak penganjur telah diserahkan kepada pemilik Honda Accord SM4 bercat lusuh dalam satu acara yang turut disiarkan secara langsung di platform Tik Tok semalam.
Terdahulu, program tersebut menjadi tular apabila hadiah utama penganjuran tersebut adalah kereta Honda Accord SM4 yang dikeluarkan pada tahun 1991 yang berharga RM3,500.
Kegigihan netizen mencari di mana asal Honda Accord tersebut membuahkan hasil apabila hantaran asal penjual kereta tersebut ditemui hari ini.
Melalui iklan di laman sosial Facebook, Accord hitam lusuh yang belum dicat itu dibuka untuk jualan pada 14 Ogos lalu dengan harga hanya RM3,500.
Bukan itu sahaja, menjadi pendebatan umum apabila peserta yang ingin menyertai acara cabutan bertuah perlu membeli baju acara terbabit dengan harga RM80 sehelai dan beg RM10.
Sebelum hari penganjuran Honda Day 2024 pada Sabtu lalu di Litar Antarabangsa Sepang berlangsung, isu hadiah utama itu telah kedengaran apabila ramai peserta yang tertanya-tanya berkenaan hadiah cabutan pertama.
Ramai yang beranggapan, acara besar yang menghimpunkan semua pemilik kenderaan jenis Honda yang menjadi kebanggaan anak muda Malaysia ini mampu menyediakan hadiah seperti Honda Civic FN terbaharu.
Ternyata anggapan tersebut meleset apabila acara yang dikatakan berjaya menjual lebih 8,000 helai baju itu hanya menyediakan Honda Accord bercat lusuh berharga RM3,500 sahaja. -https://amiminerals.org/.