Hidup susah selepas suami terlantar

lead 6

Norlida (kiri) bersama suaminya yang diserang angin ahmar di rumah mereka di Felda Kota Gelanggi Empat, Jerantut baru-baru ini.

JERANTUT – Seorang wanita terpaksa mencari rezeki dengan menebar roti canai bersendirian selepas suami yang sebelum ini diharapkan kini hanya terlantar selepas diserang penyakit angin ahmar pada April tahun lalu.

Norlida Abd. Talib @ Abd. Razak, 63, berkata, kedai kopi di Felda Gelanggi Empat kini diusahakan bersama anak perem­puannya memandangkan kea­daan suaminya, Abdul Rahman Aripin, 64, masih belum sembuh.

Kata Norlida, segalanya bermula apabila anggota badan suaminya seperti kaki, tangan dan mulut tidak boleh digerakkan ketika bangun tidur hingga perlu dipapah.

“Bahagian kanan badan seakan lumpuh dan tidak mampu bercakap. Kami terpaksa menggunakan isyarat tangan atau mengangguk untuk me­minta sesuatu.

“Ketika itu saya bawa dia ke Hospital Bandar Pusat Jengka ­sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh lalu doktor mengesahkan dia ter­kena angin ahmar,” katanya ketika ditemui.

Menurut Norlida, sudah dua tahun suaminya hanya mampu bangun dan duduk, manakala makan dan minumnya perlu di­suap.

Tambahnya, dia membuka kedai kopi dan menjual roti canai pada waktu pagi untuk menampung kehidupan yang menelan belanja RM2,000 sebulan.

“Saya perlu pulang ke rumah setiap 30 minit untuk lihat kea­daan suami di rumah. Dia menjalani rawatan terapi sebulan sekali di Klinik Kesihatan Sungai Tekam Utara, namun keadaannya langsung belum berubah,” katanya.

Ujar Norlida, dia memperoleh antara RM150 hingga RM200 setiap kali berniaga. Dia juga sedang menunggu bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selain memohon kad orang kelainan upaya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Norlida di talian 011-3613 2119 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Abdul Rahman di 156141324494.