KUALA TERENGGANU – Penyakit Heamoragic Septicaemia atau hawar berdarah yang menyerang sebahagian kerbau di Kuala Terengganu mengakibatkan 25 ekor haiwan itu mati sejak awal bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, kes kerbau ternakan mati akibat penyakit hawar berdarah berlaku di Kampung Dusun Tembakau, Manir di sini.
“Penyakit itu dikesan menyerang 120 ekor kerbau yang diternak secara berkelompok oleh enam penternak di perkampungan tersebut sejak 7 April lalu.
“Antara simptom yang boleh menyebabkan kematian haiwan ternakan adalah kemurungan, bengkak kepala dan leher, mulut dan hidung berbuih, konjunktivitis (radang bahagian putih mata) serta kesukaran bernafas,”katanya di sini hari ini.
Azman berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengambil langkah proaktif mengawal penularan dengan melarang pemindahan ternakan dalam radius lima kilometer dari lokasi wabak melibatkan tujuh mukim di daerah ini dan Kuala Nerus.
Menurut beliau, antara mukim terlibat ialah Losong dan Paloh; Manir; Belara; Gelugor dan Rengas serta Gelugor Raja dan Kubang Parit di sini.
“Selain itu, ternakan di Tepoh, Wakaf Tembesu dan Bukit Tunggal, Kuala Nerus juga perlu dikuarantin. Penternak juga disediakan kandang kepungan bagi tujuan kuarantin,”katanya.
Azman memberitahu, mereka juga dibekalkan tong mengandungi kapur berklorin bagi tujuan nyahkuman untuk mengurangkan risiko penularan penyakit. – https://amiminerals.org/