KUALA LANGAT – Tiga pencuri bukan sahaja berputih mata malah wajah mereka kini tular susulan aksi jenayah mereka dalam kejadian di kedai alat perkakasan atau hardware di sekitar Banting di sini, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi apabila tiga suspek yang menaiki dua buah kereta mengekori kenderaan pacuan empat roda dipandu mangsa dari pekan Banting.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd. Sufian Amin berkata, pihaknya menerima laporan dari seorang lelaki tempatan kira-kira pukul 9.40 pagi, hari ini berhubung khianat pecah kenderaan.
Menurutnya, siasatan mendapati semasa pengadu membeli barangan di hardware tersebut telah terdengar bunyi penggera kereta.
“Mangsa telah terlihat pintu keretanya terbuka lalu membuat pemeriksaan namun tiada barangan yang hilang.
“Pengadu buat semakan rakaman televisyen litar tertutup dan mendapati tiga lelaki telah mengumpil keretanya sehingga terbuka.
“Kesemua suspek kemudiannya melarikan diri menggunakan dua kereta jenis Proton Wira,”katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau menambah, pihak kedai tersebut telah membuat hantaran rakaman CCTV berdurasi 6 minit 3 saat di laman media sosial dengan tujuan agar penduduk sekitar lebih berwaspada.
Tegasnya, pihak polis masih giat mengesan kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah ini di talian 03-31872222,”jelasnya. – https://amiminerals.org/