Harry Kane lakar sejarah Bundesliga

HARRY KANE e1732348606790

KANE meledak hatrik ketika membantu Bayern menundukkan Augsburg pada aksi Bundesliga awal pagi semalam. – AFP

MUNICH – Penyerang berbisa Bayern Munich, Harry Kane terus melakar sejarah apabila menjadi pemain terpantas menjaringkan 50 gol Bundesliga ketika membantu pasukan menang 3-0 ke atas Augsburg di Allianz Arena awal pagi semalam.

Lebih manis, ketiga-tiga gol itu dijaringkan pemain antarabangsa England berkenaan, sekali gus menjadi hatrik ketujuhnya bersama Bayern sejak menyertai The Bavarians pada jendela perpindahan musim panas tahun lalu.

Dua gol menerusi sepakan penalti dan satu jaringan padang sudah cukup untuk memastikan Bayern terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Bundesliga dengan 29 mata, meninggalkan pencabar terdekat RB Leipzig dan Eintracht Frankfurt.

“Selepas aksi separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, kami berkata kepada diri masing-masing supaya terus mencuba dan mencipta peluang untuk menghasilkan gol. Semua pemain sudah bekerja keras.

“Ketika kami diberikan sepakan penalti pertama, dari situ perlawanan menjadi lebih terbuka dan kami mencipta banyak peluang. Kami sangat gembira untuk mengekalkan aksi cemerlang seperti ini,”kata Kane yang sudah meledak 50 gol Bundesliga dalam 43 perlawanan.

Sementara itu, dia turut menganggap kemenangan tersebut menjadi pembakar semangat buat Bayern menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) Rabu nanti sebelum bertemu Borussia Dortmund empat hari kemudian.23

“Kami berdepan perlawanan cukup penting selepas ini, iaitu aksi menentang PSG dalam Liga Juara-Juara sebelum bertemu Dortmund. Bagaimanapun, saya rasa kami berada dalam momentum terbaik ketika ini,”ujarnya. – AGENSI24