HULU TERENGGANU – Seorang remaja lelaki berdepan detik cemas selepas kenderaan pikap, Toyota Hilux dipandu merempuh seekor harimau kumbang yang tiba-tiba melintas di Kilometer (KM) 387, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini hari ini.
Kemalangan pada pukul 1.15 pagi itu menyebabkan harimau kumbang yang merupakan haiwan dilindungi berkenaan terkorban.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, sewaktu kejadian, pemandu kenderaan Toyota Hilux berusia 19 tahun berkenaan dikatakan dalam perjalanan ke Kemaman dari Kelantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, seekor harimau kumbang tiba-tiba keluar dari hutan berhampiran lalu memasuki lebuh raya.
“Kenderaan Toyota Hilux dipandu mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh haiwan terbabit,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sharudin berkata, harimau kumbang itu mati akibat kecederaan parah di beberapa anggota badannya manakala remaja lelaki terbabit pula terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Beliau berkata, bangkai haiwan tersebur telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut. – https://amiminerals.org/