Hari-hari orang tanya pasal Sufian…

hilang

GAMBAR fail pada Julai lalu ketika Zuraidah dan Mok Parin (kanan) menunjukkan gambar Sufian Kampung Sungai Boh, Pontian.

PONTIAN – “Kadangkala terlintas juga di hati mungkin Sufian telah tiada (meninggal dunia) sehingga saya sedekahkan al-Fatihah kepadanya setiap kali selepas solat.”

Demikian rintihan seorang ibu, Zuraidah Bedu, 66, setelah hampir lima bulan kehilangan anak lelaki, Muhammad Sufian Mok Parin, 39.

Kehilangan pemandu lori pembancuh simen di sebuah pelabuhan di sini itu sejak 20 Jun lalu terus menjadi misteri kerana tiada sebarang petunjuk di mana keberadaan dia ketika ini.

Zuraidah berkata, perkara itu menyebabkan dia dan suami, Mok Parin Miswan, 70, berputus asa untuk mencarinya kerana tidak menerima sebarang maklumat sama ada Sufian masih hidup atau telah meninggal dunia selain ‘disembunyikan’ oleh mana-mana pihak.

“Dengan hati yang berat saya sudah berhenti berharap Sufian kembali ke pangkuan keluarga setelah pelbagai ikhtiar dibuat termasuk menggunakan cara perubatan Islam.

“Saya dan suami juga sudah tidak terdaya untuk menjawab pertanyaan penduduk kampung yang ingin tahu perkembangan anak keempat daripada lima beradik itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Boh, di sini semalam.

lead 1 1
GAMBAR kenangan Muhammad Sufian (belakang) bersama ibu bapanya.

Ujar Zuraidah, apa yang menghairankan adalah motosikal mang­sa juga tidak dijumpai sehingga kini.

“Terfikir juga jika dia terlibat kemalangan, masuk gaung atau sebagainya. Kami kini hanya berserah kepada Allah, jika diizinkan-Nya, saya harap Sufian dapat ditemui. Tidak kisahlah walau dalam bentuk rangka pun,” katanya dengan linangan air mata.

Katanya, dia dan suaminya juga tidak lagi menunggu di hadapan rumah pada sebelah pagi atau petang seperti mana sebelum ini.

Sementara itu, Mok Parin berkata, daripada pengamatan dua orang pengamal perubatan Islam yang ditemui, mereka memberitahu Sufian akan pulang suatu hari nanti, namun tidak menyatakan bila waktunya.

“Sufian sebelum ini mempuyai seorang teman wanita yang berasal dari Kelantan dan wa­nita itu pernah dua kali datang ke rumah kami, namun tidak diketahui sejauh mana hubungan mereka.

“Kami berharap teman wanitanya itu dapat membantu dan mencari jawapan ke mana Sufian menghilang selama ini, jika benar-benar sayang dan cinta kepada anaknya,” katanya.

Ujarnya, ketika remaja, Sufian juga pernah keluar mencari pekerjaan, namun mengutus surat kepada keluarganya dan pulang semasa hari raya.

“Kini dengan adanya kemudahan telefon bimbit, dia tidak maklumkan ke mana dia pergi,” katanya dengan penuh kesal.

Duda itu dilaporkan hilang selepas keluar awal dari tempat kerja di sebuah pelabuhan untuk mengambil gaji di sebuah institusi kewangan.

Pada 8 Julai lalu, satu laporan polis dibuat kakak sulungnya, Noorlinayati, 46, di Ba­lai Polis Permas.

Ketika hilang, Sufian berbaju kuning dan berseluar coklat serta menunggang motosikal Yamaha Lagenda berwarna biru dengan nombor pendaftaran JKU 6039. -https://amiminerals.org/