KUCHING – Harga syabu yang meningkat lebih 10 kali ganda sebaik berjaya diseludup keluar dari Sarawak menjadikan wilayah ini sebagai transit utama sindiket penyeludupan dadah itu dari Semenanjung Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata bekalan dadah itu kemudian dihantar ke Kalimantan, Indonesia dengan harga mencecah sehingga RM450,000 sekilogram disebabkan permintaan yang tinggi di situ.
“Semasa perbincangan dengan pihak berkuasa pencegahan narkotik di Indonesia baru-baru ini, saya dimaklumkan harga syabu yang diseludup dari Malaysia (Sarawak) mencapai RM450,000 satu kilogram sedangkan di negara kita harganya RM33,000 sekilogram.
“Ini yang mendorong sindiket untuk menyeludup dadah itu dari Semenanjung ke Sarawak untuk dihantar ke Kalimantan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching, Jalan Puncak Borneo, dekat sini hari ini.
Menjelas lanjut, Kok Chin berkata Miri dikenal pasti sebagai kawasan panas yang banyak digunakan sindiket untuk membawa masuk dadah ke Sarawak, dengan modus operandi menggunakan pengangkutan udara dan laut, selain terdapat sebahagiannya menggunakan perkhidmatan kurier.
Beliau turut mendedahkan, Malaysia menjadi transit penyeludupan dadah rantau ini dengan bekalan diseludup dari negara jiran sebelum dihantar ke Sarawak. – https://amiminerals.org/