Haram bayar \’roadtax\’ kereta guna duit raya anak

Ustaz Azhar Idrus

Ustaz Azhar Idrus

PETALING JAYA – Ibu bapa dilarang menggunakan duit raya anak masing-masing bagi membayar keperluan sendiri seperti membayar cukai jalan kereta selepas ‘sesak’ menyambut hari raya.

Menjelaskan perkara tersebut, penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus berkata, ibu bapa yang menggunakan duit raya anaknya bagi keperluan sendiri hukumnya adalah haram.

“Ramai mak ayah sekarang cakap, tidak mengapa sebab tu duit anak mereka sendiri, bagi yang tak ada ilmu kata macam tu lah, tapi sebenarnya haram.

“Jika guna juga mak ayah itu wajib bayar balik, kaedah dia cuit raya anak itu adalah hak dia, kita tidak boleh ‘mencuri’ duit anak itu ditambah lagi jika anak itu belum baligh,”jelasnya dalam satu klip video soal jawab agama di Youtube.

Tambah Azhar, perlu diingat duit raya tersebut adalah hak serta harta kepada anak itu, manakala duit ayah adalah hak dan harta ayah, tidak boleh sesiapa yang ambil.

“Islam tak ajar ambil harta orang, anak hak dia, ayah dan mak juga hak dia. Mak tak boleh ambik duit anak, ayah tak boleh ambil duit anak, anak juga tak boleh ambil duit ayah dan mak dia.

“Kalau ambil untuk simpan tak apa, jangan ambil guna. Anak yang belum baligh tidak sah ambil izin dia.

“Sebab tu jika ada kematian duit sedekah orang ramai tidak boleh digunakan untuk tahlil jika si mati masih ada anak yang belum baligh,”katanya. – https://amiminerals.org/.