Hantu bakar rumah penduduk

rumah hantu terbakar

Keadaan di dalam rumah yang didakwa berhantu. – WNS

LONDON – Sebuah rumah berhantu di Ammanford, United Kingdom (UK) terbakar secara misteri, menyebabkan penduduk setempat percaya bahawa ia adalah perbuatan entiti paranormal yang ‘menghuni’ kediaman tersebut, lapor akhbar The Sun UK.

Kebakaran pada minggu lalu itu berlaku di tingkat atas dan bumbung rumah tersebut, namun hartanah itu tidak mempunyai penghuni.

Menurut seorang penduduk setempat, Gwyn, 52, hartanah itu dikenali ramai sebagai rumah berhantu yang mempunyai pelbagai kisah misteri sejak 1970-an.

“Sesiapa yang tinggal di situ pasti akan ketakutan dan mereka berpindah keluar. Tiada siapa yang berani tinggal di situ.

“Pada Sabtu lalu, ia terbakar sedangkan rumah itu tidak berpenghuni. Punca kebakaran adalah misteri, namun kami percaya ia angkara hantu,” katanya.

Tiada individu yang cedera dalam kebakaran itu, manakala jabatan bomba sedang menyiasat punca kebakaran.

Rumah itu menjadi tajuk-tajuk utama media di UK beberapa tahun lalu apabila bekas pemiliknya mendakwa bahawa ia dihantui oleh jeritan misteri dan pelbagai bunyi yang tidak dapat dijelaskan.

Pasangan Alan dan Christine Tait, berpindah dari rumah tersebut dan memulakan kehidupan baharu di dalam karavan serta berikrar enggan lagi kembali ke kediaman mereka itu.

Mereka sebelum itu pernah memasang mikrofon di dalam rumah tersebut untuk merakam bunyi wanita dan kanak-kanak menjerit, ketukan kuat dan suara seperti lelaki bercakap dalam bahasa asing.

Pasangan yang kini berusia pertengahan 60-an itu berkata, bunyi-bunyian itu datang dari tingkat bawah tanah yang berada di bawah dapur.

Selepas berjaya merakam pelbagai bunyi aneh dan menyeramkan, pasangan tersebut berpindah keluar dan rumah itu dan ia kekal dianggap berhantu sehingga kini. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *