Hannah tekad letak orang yang betul di jawatan yang betul

hannah nicol

Hannah bersama Timbalan Chef de Mission, Datul Nicol David di Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.

PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tekad untuk meletakkan individu yang tepat bagi memegang satu-satu jawatan dalam bidang sukan.

Menurut Hannah, terdapat pelbagai jawatan dalam badan sukan dengan ada yang dipilih sendiri oleh beliau dan ada jawatan yang dilantik oleh persatuan.

“Salah satu perkara utama yang saya mahu lakukan sebelum saya menamatkan penggal (Menteri Belia dan Sukan) ialah meletakkan orang yang betul di jawatan yang betul.

“Bagi mereka yang dipilih oleh ahli badan sukan melalui proses pemilihan sendiri, saya tidak mempunyai kuasa untuk menukar atau menggugurkan mereka.

“Ia dilakukan melalui proses demokrasi dan kita mesti menghormatinya. Saya hanya boleh mengeluarkan mereka yang saya lantik,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Hannah memberitahu, dalam tempoh singkat, beliau melantik ramai bekas atlet untuk membantu kerana percaya golongan tersebut memahami sukan dan keperluan atlet.

“Dalam jawatankuasa Road To Gold saya mempunyai tiga bekas atlet utama untuk membantu saya iaitu Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Mirnawan Nawawi.

“Di Majlis Sukan Negara Malaysia, saya mempunyai bekas peserta Olimpik iaitu Suriaghandi Suppiah dan Lee Chong Wei yang dipilih untuk membantu saya.

“Manakala di Institut Sukan Negara Malaysia, saya mempunyai Datuk Marina Chin dan Datuk Nicol David,” katanya.

Jelas Hannah, beliau melantik Farah Ann, Jeffrey Ong, dan Soo Beng Kiang untuk membantunya di Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Katanya, Nurul Huda pula sebagai pengerusi dalam Jawatankuasa Sukan Selamat.

“Selain itu, saya juga mempunyai Pentadbir Sukan seperti Datuk Seri Windsor John daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (Perbadanan Stadium Malaysia) dan Datuk Stuart Ramalingam (Penyelaras RTG).

Pada Olimpik Paris 2024, Hannah meluangkan banyak masa bersama Nicol yang menjalankan tugas dengan cemerlang.

“Harapan saya agar beliau (Nicol) terus membantu dalam membangunkan negara melalui pembangunan sukan.

“Saya mahu legasi memperkasakan bekas atlet kita untuk membantu atlet semasa dan akan datang kerana mereka tahu keperluan dan mereka faham,” katanya – Iteenews.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *