KUALA LUMPUR – Wanita Barisan Nasional (BN) bertekad untuk memastikan hak dan keselamatan wanita terus diperjuangkan tanpa henti.
Ini kerana kata pengerusinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata kes-kes keganasan rumah tangga, diskriminasi tempat kerja, dan gangguan seksual masih menghantui ramai wanita.
“Kesatuan kita mesti menjadi perisai yang melindungi mereka, undang-undang kena lebih tegas, menyediakan saluran bantuan yang lebih cekap, dan memastikan tiada wanita yang terpaksa hidup dalam ketakutan.
“Kita mahu semua wanita merasa selamat dan dihormati dalam setiap aspek kehidupan mereka,”katanya ketika ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari.
Mengulas lanjut, Noraini berkata, Wanita UMNO juga mahu dikenang sebagai individu yang menterjemahkan perpaduan kepada perubahan.
Jelasnya, perubahan yang mengurangkan beban hidup rakyat, membina rumah untuk keluarga, membuka peluang, mendidik anak-anak dan yang melindungi hak setiap insan.
Menurutnya, walaupun 50 tahun adalah satu tempoh yang lama dengan pelbagai pencapaian besar, namun mereka perlu terus bergerak ke hadapan.
“Jangan sekali-kali kita lupakan harapan rakyat kepada kita. Mari kita bersama-sama menguatkan tekad, menggandakan usaha dan terus istiqamah dalam perjuangan ini.
“Sekali kita melangkah, kita akan terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dan semangat. Mari kita buktikan bahawa wanita BN akan bersama mencipta kejayaan,”katanya. – https://amiminerals.org/