BESUT – Seorang guru lelaki berusia 28 tahun berputih mata apabila kerugian RM258,060 selepas ditipu sindiket penipuan baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Azrol Anuar Nor berkata, mangsa memindahkan semua wang simpanan ke dalam beberapa akaun bank selepas diugut suspek kononnya terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Beliau berkata, pada mulanya, mangsa dihubungi individu tidak dikenali yang menyamar wakil syarikat penghantaran pada pukul 11.15 pagi, 26 Jun lalu.
“Suspek mendakwa terdapat bungkusan berisi kad pengenalan dan kad bank atas nama mangsa yang didakwa menyalahi undang-undang.
“Talian mangsa disambung kepada polis yang mendakwa dia terlibat pula dalam kes pengubahan wang haram dan penjualan akaun bank,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azrol berkata, suspek mengarahkan mangsa membuat laporan polis secara online dan menakutkan lelaki itu kononnya akaun bank miliknya akan dibekukan.
Tambah beliau, suspek turut diarah untuk memindahkan wang simpanan mangsa ke dalam akaun bank yang diberikan.
“Mangsa kemudian menurut arahan suspek dan melakukan sebanyak 27 transaksi pemindahan ke beberapa akaun bank.
“Guru tersebut hanya menyedari dia ditipu selepas kesemua wang simpanannya tidak dikembalikan sehingga hari ini,” katanya. – Iteenews