GRO menyorok bawah tangga, celah dinding, tandas elak ditahan

GRO MENYOROK BAWAH TANGGA

GRO Vietnam bertindak menyorok bawah tangga bagi mengelak ditahan ketika serbuan JIM di sebuah pusat hiburan malam tadi. – Foto ihsan JIM SELANGOR

PUCHONG – Gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing sanggup menyorok di bawah tangga dan berhimpit di dalam bilik simpanan minuman bagi mengelak ditahan pihak berkuasa dalam serbuan Ops Gegar yang dijalankan di pusat hiburan sekitar Puchong malam tadi.

Bukan itu sahaja, ada juga yang cuba bersembunyi di celah-celah dinding pentas dan tandas premis, namun tindakan mereka berjaya dipatahkan pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor.

Operasi yang dilaksanakan pukul 9 malam tadi itu disertai seramai 29 pegawai dan diketuai PPK Johari Supardi.

Johari berkata, seramai 66 individu termasuk 10 lelaki yang juga warga asing turut ditahan.

“Kita menahan 56 GRO warga Vitenam, lapan lelaki warga Myanmar dan dua lelaki warga Bangladesh.

“Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ketika operasi berkenaan, tercetusnya provokasi daripada pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan sendiri.

“Premis hiburan ini mempunyai tiga tingkat dan bahagian atas terpaksa dipecahkan kerana kerjasama daripada pihak terlibat tidak diberikan ketika operasi dijalankan.

“⁠Pegawai operasi mengambil masa bagi memecahkan pintu kerana keadaan pintu premis yang berlapis,” jelasnya.

Tambahnya, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63; Sek. 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – https://amiminerals.org/