PETALING JAYA – Grab Malaysia menganjurkan kejohanan bola sepak komuniti, Piala Rakan Grab di seluruh Malaysia baru-baru ini bagi menyemarakkan semangat keakraban dan perpaduan dalam kalangan rakan pemandu dan penghantar syarikat tersebut.
Hasil kerjasama terdahulu antara Grab Malaysia dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), kedua-dua organisasi tersebut terus menjalin usahasama melalui penganjuran klinik bola sepak di seluruh negara.
Objektif klinik tersebut untuk memberi peluang berharga kepada anak-anak rakan Grab meningkatkan kemahiran mereka di samping mengambil bahagian secara aktif dalam sukan bola sepak.
Kejohanan yang berlangsung di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, Sarawak, Johor, Perak dan Sabah selama tiga minggu itu dimeriahkan oleh lebih 1,200 orang terdiri daripada rakan Grab, keluarga dan pemain MFL.
Ia merupakan platform terbaik untuk rakan Grab berhubung dengan wira bola sepak di samping mengukuhkan ikatan komuniti dan menyatukan peserta dengan semangat bola sepak.
Acara di Selangor dan Kuala Lumpur mencipta momen menarik dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Hannah berkata, beliau teruja melihat Grab Malaysia aktif melibatkan diri dengan komuniti rakan Grab di seluruh negara menerusi bola sepak, sukan yang paling diminati seluruh rakyat Malaysia.
“Inisiatif ini bukan sahaja memupuk kecintaan terhadap sukan, tetapi juga perpaduan antara rakyat Malaysia.
“Klinik bola sepak juga menyediakan peluang yang tidak ternilai kepada semua peserta yang mengambil bahagian, memupuk bakat di peringkat awal, memberi inspirasi dan menyokong generasi yang mempunyai minat dalam sukan bola sepak,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo memaklumkan, inisiatif tersebut mencerminkan kepercayaan pihaknya terhadap kuasa sukan untuk menyatukan komuniti dan mengukuhkan komitmen menyokong rakan Grab dengan cara yang lebih bermakna.
“Di Grab, rakan-rakan Grab merupakan keutamaan dalam semua perkara yang kami lakukan.
“Piala Rakan Grab bukan sahaja menjadi platform untuk mereka melibatkan diri di luar waktu kerja harian, tetapi mengukuhkan lagi ikatan melalui persaingan mesra.
“Melalui bola sepak, kami berharap ia dapat memupuk perpaduan, kerjasama dan mewujudkan kenangan yang berkekalan,” katanya.
Inisiatif tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan Grab Malaysia untuk menyokong rakan-rakan mereka.
Melalui usaha komuniti seperti Piala Rakan Grab dan klinik bola sepak, Grab Malaysia berhasrat untuk memperkasakan rakan Grab, mengukuhkan hubungan dan menyumbang kepada perkembangan komuniti yang rancak di seluruh Malaysia. – https://amiminerals.org/